Bersempena 1 Rejab 1432 H, marilah kita bersama-sama memeriahkan lagi bulan ini dengan memperbanyakkan amalan sunat seperti berpuasa, berdoa, berzikir, bersedeqah dan membaca al-quran. Ada apa sebenarnya dengan Bulan Rejab?
Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan Haram di dalam Islam. Al-quran ada menyebut secara tidak langsung:
1) Allah berfirman, "Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati,..." (QS Al-Baqarah: 194)
2) Allah berfirman, "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa." (QS At-taubah: 36)
Kenapa disebut BULAN HARAM?
Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram. Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu.
Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.
Kedua, dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.
(1) Maksudnya antara lain ialah: bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab)
(2) Dikatakan juga oleh ulama bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan haram berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang dilakukan dalam bulan haram itu. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka, diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri. Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu pada pertengahan tahun.
Selain itu, banyak peristiwa yang telah mengukir sejarah dalam sirah Islam, antaranya:
1. Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra’ dan Mi’raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama’ bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.
2. Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.
Bulan Rejab Menurut As-Sunnah
Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Al Allamah Ibnu Hajar menulis, telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi Muhammad S.A.W memandubkan (yakni SUNAT) berpuasa di bulan-bulan Haram.
Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu (seperti puasa 1 Rejab) dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.
Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.
Antara kategori orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab yang mengikut sunnah atau tidak:
1. Mereka memperbanyakkan puasa sunat pada bulan-bulan Haram tanpa melakukan secara berterusan. Ini adalah sunnah.
2. Mereka berpuasa sunat Isnin, Khamis dan sebagainya dalam bulan Rejab tanpa niat kerana fadilat Rejab yang bersumber dari hadis tidak shahih. Tetapi mereka berpuasa kerana ada hadis-hadis yang menganjurkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Ini juga adalah sunnah.
3. Mereka yang mengqadha puasa Ramadhan yang lepas dalam bulan Rejab tanpa beriktiqad adalah lebih afdhal untuk menqadha puasa dalam bulan Rejab kerana fadhilatnya yang bersumber dari hadis yang tidak shahih. Ini dibenarkan.
4. Mereka yang berpuasa sebulan penuh Rejab kerana fadhilat-fadhilat yang disebut dalam hadis tidak shahih dan maudhu. Ini bukanlah sunnah.
5. Mereka berpuasa penuh 3 bulan berturut-turut (Rejab, Sya'aban, Ramadhan) dan ditambah puasa enam di bulan Syawal. Mereka berhenti hanya pada 1 syawal dan ini bukan juga sunnah.
Selain berpuasa di bulan Rejab, kita dianjurkan memperbanyakkan berdoa’, solat sunat, berselawat, bersedeqah, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir. Dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi ada menyebutkan “Malam awal Rejab mustajab doa’nya”.
No comments:
Post a Comment